4 ANGGOTA POLIS YANG PALING DIGERUNI DALAM SEJARAH MALAYSIA!

 

Korang mungkin pernah dengar dengan penjenayah-penjenayah paling terkenal kat Malaysia ni macam Mona Fandey dan Botak Chin, malah kami ada tulis satu artikel panjang pasal geng-geng berhantu ni semua.

Tapi asal orang jahat je korang kenal, macam mana pulak dengna anggota polis yang berhempas pulas tangkap mereka ni semua? Hah, nasib baiklah ada wartawan macam Syahril A. Kadir yang rajin menulis pasal hero-hero Malaysia kita ni semua. Kalau nak baca post asal oleh Syahril Kadir, boleh klik gambar kat bawah ni:

hari-pahlawan-syahril-kadir

Kat sini kami nak panjangkan apa yang dituliskan oleh Syahril A. Kadir dengan maklumat-maklumat tambahan,

1. Bahadon Baharom yang digelar sebagai Malaikat Maut

Tuan Bahadon Baharom. Imej dari Utusan.

Tuan Bahadon Baharom. Imej dari Utusan.

Beliau merupakan bekas Ketua Cawangan Jenayah Berat (D9) di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. Malah beliau juga merupakan seorang pegawai polis yang paling digeruni sekitar era 80-an sehingga 90-an kerana keberaniannya berhadapan dengan penjenayah sehingga digelar sebagai ‘Malaikat Maut‘ oleh musuh-musuhnya.

Menurut sumber daripada akhbar Utusan Malaysia, antara penjenayah yang berjaya ditumpaskan oleh beliau termasuklah:

I) P.Kalimuthu atau lebih dikenali sebagai Bentong Kali, seorang penjenayah terkenal Malaysia pada tahun 90-an dengan kes pembunuhan kejam, penyeludupan dadah, memeras ugut serta kongsi gelap sehinggakan pihak berkuasa telah mengambil tindakan memberikan ganjaran sebanyak RM100,000 kepada sesiapa berjaya memberikan maklumat yang membawa kepada penangkapan Bentong Kali. Menurut dari sebuah dokumentari KES, Bentong Kali jugak pernah menelefon sendiri Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah untuk mencabar pihak polis.

Bentong Kali mencabar pihak polis menangkapnya. Imej dari Dokumentari, KES.

Bentong Kali mencabar pihak polis menangkapnya. Imej dari Dokumentari, KES.

II) Amukan Prebet Adam Jaafar pada Oktober 1987 di Chow Kit yang kononnya berpunca dari insiden adiknya yang dipukul sampai mati oleh seorang kerabat diraja Johor. Prebet tersebut telah mengamuk dengan berlari sambil menembak machine gun secara membuta tuli dan telah terkena beberapa orang awam yang terdapat di situ. Dia juga telah mencuba untuk membakar sebuah stesen minyak.

adam4

Keratan akhbar mengenai kes amukan Prebet Adam 1987. Imej dari Kedahnews.com

Keratan akhbar mengenai kes amukan Prebet Adam 1987. Imej dari Kedahnews.com

Di atas jasa dan sumbangannya, beliau telah menerima pingat Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1977. Pada Jun 2012, beliau telah kembali ke rahmatullah akibat kanser.

“…tapi ada seorang pegawai polis, yang kat mana pun aku pergi, ramai yang akan kenal dan ramai orang yang akan cakap benda yang sama… namanya adalah Bahadon bin Baharom, satu nama yang cukup digeruni, bukan saja penjenayah malah anggota polis sendiri.”-  Syahril A. Kadir, bekas Penolong Ketua Meja Jenayah Utusan Malaysia (wartawan). Dipetik dari Blog Syahril A. Kadir.

2. S. Kulasingam yang mendapat jolokan ‘Fear Factor’

Imej dari sentiasapanas.com

Imej dari sentiasapanas.com

S. Kulasingam merupakan Bekas Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor yang berjaya melumpuhkan sebanyak 25 kegiatan kongsi gelap. Malah beliau pernah mengetuai operasi pemburuan penjenayah yang paling dikehendaki iaitu Botak Chin pada sekitar 70-an, yang banyak terbabit dengan rompakan bersenjata serta menangkap Kepong Chai, lelaki yang merogol ramai wanita sebelum mencederakan wajah mereka dengan pisau.

Imej dari kongsion9

Botak Chin ketika berjaya ditangkap. Imej dari kongsion9

Beliau yang dikenali sebagai Kula di kalangan rakannya dianggap sebagai seorang yang tidak pernah mengenal takut membanteras penjenayah ganas sehingga beliau sendiri pernah menerima pelbagai ancaman bunuholeh penjenayah. Menurut sumber dari Bernama, beliau turut mendapat jolokan sebagai ‘Fear Factor’.

“Kula adalah legenda Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID)… beliau seorang yang sederhana tetapi berhati waja.Tidak ada siapa boleh mempersoalkan komitmen dan dedikasinya (kepada pasukan polis).” – Datuk Christopher Wan Soo Kee, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Persekutuan. Dipetik dari Bernama.

Malah menurut sumber dari anak saudara Kula, Dr. Krishna Kumar yang dipetik dari akhbar Utusan, semasa riwayatnya beliau pernah terkena tembakan sebanyak dua kali oleh penjenayah termasuk di bahagian perut namun beliau tetap memberikan arahan untuk meneruskan operasi memburu penjenayah.

Tambah Syahril A.Kadir, seorang bekas wartawan di dalam bidang jenayah berpengalaman selama lebih 10 tahun yang dipetik dari Facebook beliau, Kula pernah kena serang hendap oleh konco-konco penjenayah Botak Chin dengan melepaskan 11 tembakan jarak dekat terhadapnya semasa di perhentian lampu isyarat kat Cheras. Salah satu tembakan tersebut telah terkena rusuk kanan beliau dan menembusi paru-parunya.

“Penumpas jenayah yang baru meningkat wajar mengambil dedikasi dan pencapaian Kula sebagai kayu pengukur dalam kerjaya mereka… beliau adalah contoh bagaimana menjadi seoranag anggota polis yang gemilang.”- Datuk Christopher Wan Soo Kee, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Persekutuan. Dipetik dari Bernama.

Imej dari Syahril A.Kadir

Imej dari Syahril A.Kadir

Disebabkan dedikasi dan keberaniannya dalam menghadapi penjenayah sepanjang berkhidmat, Kula telah dianugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) dan Ahli Mangku Negara (AMN) sebagai tanda menghargai jasanya.

Di saat-saat akhir kehidupannya, beliau telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan tulang pinggul yang retak ketika terjatuh kat bilik mandi dan beliau telah meninggal dunia pada usia 77 tahun akibat paru-paru berair atau pneumonia.
3. Mejar Zainal Abd. Rashid yang gugur melawan komunis

Imej dari xnuripilot

Imej dari xnuripilot.

Mejar Zainal Abd. Rashid adalah seorang perwira negara yang berjaya membunuh enam orang pengganas komunis (PGK), namun dalam masa yang sama juga beliau telah gugur didalam medan pertempuran (Operasi Gubir) pada tahun 1976 demi memerdekakan tanah air yang tercinta. Pada ketika itu, beliau hanya berpangkat Kapten yang mengetuai kumpulan rondaan.

Namun atas segala pengorbanan dan keberaniannya semasa bertempur dengan pengganas komunis, beliau telah dinaikkan ke pangkat Mejar dan dianugerahkan pingat kepahlawanan tertinggi negara iaitu Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) pada tahun 1977 oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.

Selain itu, Mejar Zainal turut dianugerahkan pingat keberanian handalan (PKH) oleh DYMM Sultan Perak dan dikurniakan Bintang Perkasa Negeri Kedah (BPK) serta Bintang Keberanian Negeri Kedah (BKK) oleh DYMM Sultan Kedah.

Pertempuran meletus apabila beliau dan lima anggotanya berjaya mengesan sekumpulan 15 pengganas komunis. Setelah beliau membunuh dua orang pengganas komunis tersebut, beliau terus menuju ke arah musuh sambil memberi kata-kata perangsang kepada anggotanya yang lain untuk terus mara berjuang. Pada ketika itu lah, salah seorang pengganas wanita telah membaling sebutir grenad kearah beliau dan telah menyebabkan kecederaan parah sehingga beliau menghembuskan nafas terakhirnya di tempat kejadian.
4. Inspektor Paul Kiong yang berjaya menangkap 43 orang komunis hidup-hidup

Imej dari Facebook Polis Hutan.

Imej dari Facebook Polis Hutan.

Supritendan Paul Kiong adalah antara pegawai Cawangan Khas (SB) yang terhebat. Menurut bekas Penolong Ketua Meja Jenayah Utusan Malaysia, Paul Kiong ni sangat hebat dalam penyamaran, sampaikan dia menyamar sebagai anggota komunis selama 5 tahun kat Semenanjung Malaysia tapi takde seorang pun yang perasan.

“Dulu kami terpaksa berada di dalam hutan untuk tempoh yang lama bagi menghapuskan kumpulan pengkhianat itu (PKM). Malah ada di antara anggota polis dan tentera menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan ngeri akibat kezaliman PKM.” – Paul Kiong. Dipetik dari Utusan.

Antara tahun 1976 hingga 1986, beliau telah berjaya menangkap seramai 43 orang pengganas komunis‘hidup-hidup’ tanpa melepaskan walau satu pun tembakan! Dalam satu operasi lain, Paul Kiong telah menembak seramai lima pengganas komunis yang telah menyerang hendap pasukannya dan beberapa operasi lain yang turut memperoleh kejayaan besar.

Imej dari Facebook VAT69

Imej dari Facebook VAT69.

“Saya yang berketurunan Cina juga tidak akan sekali-kali memaafkan kekejaman PKM. Biarpun luka di tubuh badan sudah menjadi parut tetapi luka di hati dan kesedihan akibat tindakan PKM masih belum terubat sampai sekarang.” -Paul Kiong. Dipetik dari Utusan.

Menurut Facebook Polis Hutan, Paul Kiong telah menyertai pasukan polis pada tahun 1967 sebagai Konstabel. Lapan tahun kemudian, beliau telah dinaikkan pangkat Inspektor dan kemudian Asisten Supritendan. Namun pada tahun 1990 beliau telah ditukarkan ke Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan pangkat Deputi Supritendan dan bersara pada 1998 dengan pangkat terakhir beliau sebagai Supritendan.

Beliau juga turut dianugerahkan Seri Pahlawan Gagah Perkasa pada 1983 dan Pingat Keberanian Handal Perak pada tahun 1988.

Paul Kiong menunjukkan pingat yang dimilikinya. Imej dari Utusan.

Paul Kiong menunjukkan pingat yang dimilikinya. Imej dari Utusan.

Wira yang tak didendang
Kami yakin pasti ramai antara korang yang tak berapa kenal dengan nama-nama diatas walaupun mereka ni sebenarnya merupakan antara ribuan pahlawan dan wira negara yang sanggup berkorban jiwa dan raga.

Malah perwira-perwira negara seperti mereka ni tak mengharapkan sanjungan yang menjulang tinggi kerana mereka pentingkan keselamatan negara dan rakyat walaupun nyawa mereka dihujung tanduk! Seperkara yang perlu kita ingat ialah, keamanan negara yang dikecapi hari ini tak mungkin mampu dicapai sekiranya tiada kesungguhan dan iltizam daripada para perwira terdahulu.

Marilah bersama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah dan bertafakur buat perwira kita yang telah terkorban dalam perjuangan mereka demi kemakmuran tanah air ini.

Sumber: cilisos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *