Bala dah dekat dah ‘Sarjan Faiz’!

IDENTITI ‘Sarjan Faiz’ yang melarikan gadis dari rumahnya di Kampung Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub, Rabu lalu, sudah dikenalpasti.

Ketua Polis Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata lelaki meyamar anggota bertugas di Balai Polis Sungai Ruan itu mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

“Selain menyamar sebagai anggota polis dia turut mempunyai rekod berhubung kes penipuan di Temerloh dan Johor.

“Polis mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang serta menyamar sebagai penjawat awam,

“Ini berdasarkan siasatan ke atas mangsa, iaitu Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi, 16, semalam,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian berhubung kejadian itu kerana boleh menjejaskan siasatan.

“Biarkan polis menjalankan siasatan dan tunggu sehingga ia selesai,” katanya.

Sementara itu, Harian Metro dimaklumkan mangsa kini berada di Hospital Kuala Lipis dan hanya akan dibenarkan pulang selepas pemeriksaan selesai.

Sumber:Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *