WANITA INI MUNGKIN AKAN SUKAR MENCARI PASANGAN KERANA KEHILANGAN ‘ASET BERHARGA’!! SEMUA INI BERPUNCA DARI DOKTOR GIGI

Dua tahun yang lalu, seorang wanita yang dikenali sebagai Lee, menjalani pembedahan pembesaran payudara di sebuah klinik pembedahan plastik di Hangzhou, China. Keseluruhan prosedur itu telah menelan kos sebanyak 60,000 Yuan (RM37,000), lapor Nanyang.

Pembedahan itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang komplikasi. Namun tidak lama selepas itu, luka di dada Lee mula berdarah, ditambah pula dengan kawasan areola dan putingnya menjadi kehitaman. Lee kembali semula ke klinik itu untuk mendapatkan penjelasan. Doktor di klinik berkenaan memaklumkan, apa yang dialami oleh Lee itu adalah normal.

“Awak sepatutnya tunggu sehingga kulitnya tertanggal, kemudian dada awak akan kelihatan cantik dan sempurna,” kata doktor berkenaan.

Akur dengan nasihat doktor terbabit, Lee menunggu sehingga Januari 2017. Malangnya, tiada sebarang perubahan dan keadaannya menjadi semakin teruk. Malah doktor yang sama juga mengakui keadaan Lee semakin merosot lalu segera merujuknya ke hospital.

Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor mendapati tisu di bahagian puting dan areola Lee telah mati. Tisu-tisu yang telah mati itu pula perlu dibuang segera dan Lee perlu dibedah.

Malangnya pembedahan itu menyebabkan Lee kehilangan puting dan areola. Lee yang masih belum berkahwin bimbang jika keadaan itu menghalang dirinya mencari pasangan di kemudian hari.

Apa yang lebih mengejutkan ialah, doktor yang melakukan pembedahan pembesaran payudara Lee itu bukanlah seorang pakar bedah plastik yang berkelayakan. Sebaliknya lelaki itu adalah doktor gigi.

Lee kemudian memfailkan saman terhadap doktor gigi terbabit. Tetapi lelaki itu hanya dikenakan denda 3,000 Yuan (RM1,850) dan tidak dikenakan sebarang hukuman penjara.

Lee kini dalam usaha menuntut bayaran ganti rugi sebanyak 30,000 Yuan (RM18,500) dari klinik berkenaan bagi menanggung kos pembedahan keduanya di hospital.

Sumber: The Reporter
Risiko Pembedahan Membesarkan Payudara
Saya mengambil kesempatan membaca akhbar NST bertarikh 24 Desember 2011 pada waktu makan tengah hari. Oleh kerana ia berkaitan dengan ‘berita perubatan’, saya tertarik untuk membacanya.

NST melaporkan pihak polis antarabangsa (Interpol) telah mengeluarkan waran menangkap pengasas syarikat Poly Implant Prothese (PIP), Jean-Claude Mas, seorang warga Perancis setelah mendapati syarikatnya mengeluarkan produk breast implant yang mempunyai kualiti rendah bagi tujuan pembedahan pembesaran payudara (breast augmentation surgery).

Untuk memastikan tiada sebarang perkara buruk yang akan berlaku, Kementerian Kesihatan Perancis telah menasihatkan wanita yang telah menggunakan produk breast implant keluaran PIP agar menjalani pembedahan semula untuk mengeluarkannya.

Setakat ini belum terbukti produk itu boleh menyebabkan kanser payu dara tetapi telah banyak kes di mana breast implant itu telah mengalami kebocoran kerana menggunakan bahan silicon yang bermutu rendah.

Kebocoran ini juga dikaitkan dengan kematian seorang wanita Perancis yang menghidap penyakit yang agak pelik, anaplastic large cell lymphoma (ALCL) dan dikhuatiri telah memberikan kesan kepada tujuh kes kanser yang lain.

Setakat ini dianggarkan seramai 40,000 orang wanita British dan 300,000 orang wanita seluruh dunia yang telah menjalankan pembedahan ini. Di Malaysia tiada angka rasmi, tetapi dianggarkan sekitar 5 000 orang wanita.

Dalam tekun membaca berita itu, fikiran saya melayang teringat satu soalan agak pelik dari seorang remaja.

“Doktor, bolehkan remaja seperti saya menjalankan pembedahan pembesaran payu dara. Saya mendapati payudara saya agak kecil dibandingkan dengan rakan-rakan yang lain. Untuk pengetahuan doctor saya berumur 17 tahun”, soal seorang rakan FB.

Sebagai manusia biasa, saya rasa seperti hendak ketawa membaca soalan itu.

“Muda-muda lagi dah nak besarkan payudara..” detik hati saya.

Namun sebagai doktor, saya juga tertanya-tanya bagaimana dia boleh terlintas memikirkan untuk melakukan pembedahan pembesaran payudara.

Setiap tahun ribuan wanita seluruh dunia yang menjalankan pembedahan ini. Apa yang penting, bukan setakat produk breast implant jenama PIP saja yang harus diberikan perhatian, tetapi pembedahan itu sendiri yang mempunyai risiko yang harus dibincangkan secara telus antara doktor pakar dan pesakit. Oleh itu mereka harus sedar manfaat dan risikonya.

FDA US memberikan cadangan bahawa remaja yang berumur 18 tahun ke bawah tidak dibenarkan menjalankan pembedahan ini kerana berkemungkinan payudara akan membesar akibat peningkatan hormon dalam badan apabila semakin dewasa.

FDA USA bagaimana pun membenarkan remaja yang berumur 18 tahun ke atas untuk melakukan pembedahan dengan menggunakan saline breast implants, sementara bagi wanita berumur 22 tahun ke atas boleh menggunakan silicone breast implants.

Walaubagaimanapun apabila dibandingkan dengan susuk tubuh bangsa Caucasian, saya mendapati umur 18 tahun tidak sesuai bagi orang Asia untuk melakukan pembedahan ini.

Apa yang saya maksudkan, berikan sedikit masa dan peluang agar payudara itu dapat membesar dengan sendiri apabila umur semakin dewasa. Adakalanya kesan hormon semasa kehamilan menyebabkan payudara membesar untuk membekalkan susu pada bayi.

Bagi mereka yang berminat untuk melakukan pembedahan ini, saya suka memberitahu bahawa pesakit yang menjalankan pembedahan ini mungkin memerlukan pembedahan seterusnya selepas 10 tahun bagi menukar breast implants yang ditelah dimasukkan ke dalam payudara kerana setiap breast implants juga mempunyai tarikh luput.

Jadi untuk mengekalkan bentuk payudara yang menarik, bukanlah suatu usaha yang mudah, malah berisiko.

“Doktor saya dengar breast implants tu boleh pecah dalam payudara. Tentu sakit dan boleh mati..”

Sebenarnya risiko dan komplikasi pembedahan membesarkan payudara ini sangat besar. Antara komplikasi yang boleh berlaku ialah komplikasi yang berkaitan dengan ubat-ubatan bius yang boleh memberikan reaksi anaphalaxis seterusnya boleh menyebabkan kematian. Risiko ini amat jarang sekali berlaku.

“Saya pernah membaca dalam akhbar, selepas pembedahan, payudara jadi bernanah dan berlubang..”

Payudara bernanah adalah disebabkan oleh jangkitan kuman. Ia jarang berlaku kerana pembedahan yang dilakukan di hospital dan dalam bilik bedah selalunya mementingkan teknik aseptic, iaitu nyahkuman. Kejadian seumpama ini selalunya berlaku di salon kecantikan yang diusahakan oleh mereka yang tidak berkelayakan dan menggunakan teknik suntikan untuk membesarkan payudara.

Sudah pasti setiap pembedahan akan mengundang risiko pendarahan. Jika pendarahan tidak terkawal dan berkumpul di dalam kawasan luka payudara, darah ini boleh membentuk darah beku. Darah ini perlu dikeluarkan.

“Betulkah payudara yang dibedah ini lebih keras dan tidak lagi lembut seperti payudara yang normal..”

Perkara itu boleh berlaku tetapi bergantung kepada individu. Jika seorang pesakit mempunyai sistem badan yang sangat sensitif pada luka dan membentuk parut secara berlebihan, ini akan menyebabkan payudara kelihatan tidak normal.

Komplikasi ini dinamakan ‘Capsular Contracture’ berlaku apabila ‘breast implant’ yang dimasukkan ke dalam payudara telah menyebabkan reaksi pembentukan parut yang keterlaluan. Parut ini akan menyebabkan ‘breast implant’ dipegang dengan kuat dan terhimpit dalam parutan luka. Akhirnya payudara menjadi keras, bukannya lembut seperti biasa.

Jika terlalu teruk, ia boleh menyebabkan rasa tidak selesa pada pesakit. Payudara akan kelihatan tidak normal.

‘Breast implant’ bukanlah produk yang boleh tahan seumur hidup. Ia juga mempunyai tarikh luput dan boleh mengalami kebocoran, atau implant rupture.

Jika ‘breast implant’ itu mengandungi saline, ia tidak mendatangkan bahaya jika diserap semula oleh tubuh. Tetapi jika ia mengandungi silikon, dibimbangi akan menyebabkan penyakit-penyakit lain.

Malangnya sukar untuk mengetahui sama ada breast implant itu mengalami kebocoran atau tidak. Apa yang boleh dilihat hanya perubahan saiz dan bentuk payudara tidak seperti normal.

Bagi pesakit sudah berumur 40an dan ingin menjalankan pemeriksaan mammogram, ia harus dilakukan oleh radiographer yang berpengalaman. Dibimbangi tanda-tanda awal kanser payu dara tidak dapat dilihat kerana diselindungi oleh breast implant ketika pemeriksaan mammogram.

Selain itu pembedahan ini juga boleh menyebabkan deria rasa pada puting payudara menjadi kurang peka atau terlalu sensitif. Bagi pesakit yang telah menjalani pembedahan ini dan kemudiannya hamil, sudah tentu proses penyusuan bayi akan terganggu. Penghasilan susu juga mungkin terjejas.

Namun sedarlah bahawa pakar bedah bukannya tuhan yang mencipta tubuh manusia yang hebat. Terdapat juga pesakit yang tidak berpuashati dengan bentuk baru payudara mereka selepas dibedah. Payudara boleh kelihatan senget sebelah, tidak seimbang atau bentuk ‘breast implant’ terlalu menonjol pada kulit payudara.

Wallahu a’lam.

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (030112)

SUMBER : http://drzubaidi.com/blog/risiko-pembedahan-membesarkan-payudara/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *