Susulan Kes BABI Masuk Masjid. Kenapa Perlu Dibuang Karpet? RM34K Untuk Ganti Yang Baru!

Masjid adalah satu daripada syiar-syiar yang mempunyai kedudukan yang mulia disisi agama Islam. Masjid juga merupakan tempat bagi berkumpulnya orang Islam untuk menunaikan kefarduan solat secara berjemaah dan sebagai tempat untuk mengadakan sebarang aktiviti keagamaan seperti pengajian ilmu dan ceramah agama. Disebabkan itu, Islam amat menitikberatkan tentang hukum-hakam yang berkaitan dengan masjid samada daripada aspek kebersihan, pembinaan dan juga pengimarahannya.

Sebagai satu tempat ibadah, masjid perlulah dijaga kebersihannya dan juga kesuciannya daripada sebarang bentuk najis serta kotoran yang boleh menghalang para jemaah daripada menyempurnakan ibadah mereka di sana. Islam juga telah menggariskan beberapa cara dan kaedah untuk membersihkan najis mengikut pengkelasan najis tersebut samaada ia adalah najis mughallazah, mutawassitah atau mukhaffafah.

Harian Metro (7 Mac 2018) dan Astro Awani (7 Mac 2018) telah menyiarkan satu berita mengenai seekor babi hutan yang telah memasuki Masjid Sungai Plong di Sungai Buloh sehingga menyebabkan kecederaan kepada salah seorang jemaah akibat daripada disondol oleh babi hutan tersebut. Dalam kejadian 8 malam, babi hutan itu dilapor turut mengejar jemaah termasuk kanak-kanak yang berada di luar dewan berkenaan selain merempuh dua buah motosikal yang berada di pekarangan masjid.

Salah seorang saksi yang melihat kejadian di Masjid Sungai Plong itu menceritakan bahawa babi hutan tersebut telah berjaya dihalau keluar ke perkarangan masjid setelah mengambil masa selama 30 minit bagi menghalaunya lalu ia telah ditembak mati oleh seorang jemaah yang menembaknya dengan menggunakan senapang patah. Mengikut laporan akhbar, Jemaah masjid telah menghubungi Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Imam Satu Masjid Sungai Plong, Ungku Ahmad Hazwan Ungku Kamarudin berkata, ketika kejadian ada dalam kalangan jemaah berusaha menyelamatkan diri serta ada yang berusaha menghalau binatang tersebut keluar dari dewan solat. Dalam pada itu, Ungku Ahmad Hazwan memberitahu, kejadian tersebut telah menjejaskan kira-kira tiga per empat bahagian dalam masjid dan beranda. Suasana panik bermula apabila haiwan yang tercedera di leher itu tersesat masuk ke kawasan masjid berkenaan (Utusan Online, 7 Mac 2018).

Artikel ringkas ini cuba mencadangkan penyelesaian bagi isu fiqh yang berkaitan dengan kejadian di atas iaitu kaedah membersihkan (sertu) kesan yang ditinggalkan oleh babi hutan tersebut dalam ruangan solat dalam masjid terutamanya ruangan berkarpet yang sukar untuk dibersihkan secara biasa. Perbahasan ini hanya memfokuskan pandangan ulama mazhab Shafi’iyy sahaja.

PANDANGAN MAZHAB SHAFI’IYY

Imam al-Nawawiyy (2008) menyebut tentang kenajisan anjing dan babi beserta cara menyucikannya dalam kitab beliau yang berjudul “Minhaj al-Talibin”:

وما نجس بملاقاة شيء من كلب غسل سبعا إحداها بتراب، والأظهر تعين التراب، وأن الخنزير ككلب.

Maksudnya, “Dan apa-apa sahaja yang menjadi najis disebabkan terkena mana-mana bahagian anjing, maka hendaklah ia dibasuh tujuh kali basuhan, dan salah satunya dengan basuhan bercampur tanah. Mengikut qawl yang azhar, basuhan bercampur tanah tersebut tidak boleh ditukar dengan suatu yang selain tanah, dan hukum babi pula adalah sama seperti hukum anjing ”.

Mengenai basuhan tempat yang terkena najis mughallazah (sertu), imam Ibrahim al-Bayjuriyy (2009) menjelaskan berkenaan makna basuhan sertu dalam kitab beliau “Hashiyat al-Bayjuriyy Ala Sharh al-Allamah Ibn Qasim al-Ghazziyy” yang menunjukkan wajib mengalirkan air dalam basuhan tersebut:

ولا بد من جري الماء فلا يكفي مس الماء من غير جريان لأنه لا يسمى غسلا.

Maksudnya, “Dan hendaklah mengalirkan air (dalam sertu), maka tidak memadai dengan hanya berlaku sentuhan air tanpa mengalir kerana perkara itu tidak dinamakan sebagai basuhan”.

Terdapat juga pandangan dalam mazhab Shafi’iyy yang mengatakan tidak wajib mengalirkan air dalam basuhan. Imam al-Nawawiyy (1991) melalui kitab beliau “Rawdat al-Talibin”, ada menukilkan pendapat Ibn Surayj al-Shafi’iyy:

أما إذا ورد الماء المحل النجس، كالثوب يغمس فى إجانة فيها ماء ويغسل فيها، ففيه وجهان: الصحيح الذي قاله الأكثرون: لا يطهر، وقال ابن سريج: يطهر.

Maksudnya: “Adapun apabila didatangkan air keatas satu tempat yang bernajis seperti direndamkan pakaian di dalam baldi yang mengandungi air dan dibasuh pakaian tersebut di dalamnya, maka pada masalah ini terdapat dua pendapat: pendapat pertama sahih (kuat) yang merupakan pandangan kebanyakan ulama Shafi’iyy, mengatakan bahawa pakaian itu tidak menjadi suci. Manakala imam Ibn Surayj berpendapat pakaian itu menjadi suci”.

Imam Muhammad al-Zuhriyy al-Ghamahrawiyy (2008) dalam kitabnya “Al-Sirajul al-Wahhaj Ala Matn al-Minhaj” ketika mensyarahkan kata-kata imam al-Nawawiyy seperti yang dinukilkan diatas telah menggunakan kalimah yang tidak menunjukkan atas wajibnya berlaku aliran air dalam basuhan seperti yang berikut:

(غسل سبعا: إحداها) مصحوبة (بتراب) طهور يعم محل النجاسة بحيث يكون قدرا يكدر الماء، ويجوز وضعه على المحل ثم وضع الماء عليه.

Maksudnya: “(Hendaklah dibasuh tujuh kali: salah satunya) diiringi (dengan tanah) yang suci lagi meratai keseluruhan tempat yang terkena najis dengan suatu kadar yang boleh mengeruhkan air, dan harus diletakkan tanah tersebut di atas tempat berkenaan kemudian diletakkan pula air di atasnya”.

Kesimpulan

Hasil daripada pendapat-pendapat ulama mazhab Shafi’iyy yang dikemukakan di atas, dapat disimpulkan bahawa:

i. Ulama mazhab Shafi’iyy bersepakat bahawa kaedah menghilangkan najis mughallazah pada bekas atau permukaan yang terkena najis adalah dengan membasuh bekas tersebut menggunakan air sebanyak tujuh kali dan salah satunya bercampur tanah.

ii. Majoriti ulama mazhab Shafi’iy mensyaratkan bahawa dalam setiap basuhan najis mughallazah (sertu), hendaklah dialirkan air ke atasnya.

iii. Namun terdapat pendapat ulama Shafi’iy yang mengharuskan basuhan najis mughallazah (sertu) tanpa dialirkan air ke atasnya.

SYOR INFAD

Dalam kes babi hutan memasuki Masjid Sungai Plong, Sungai Buloh, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ingin membuat syor berikut khususnya mengenai sertu karpet masjid:

i. Sekiranya pihak masjid tidak berdepan kesukaran untuk membersihkan najis mughallazah dengan cara memindahkan karpet keluar dari masjid dan membasuhnya dengan kaedah yang disebutkan di atas, maka dicadangkan agar berbuat demikian.

ii. Namun sekiranya terdapat kesulitan untuk berbuat demikian, INFAD mencadangkan untuk menggunapakai pendapat minoriti ulama Shafi’iy yang mengharuskan sertu tanpa mengalirkan air. Karpet masjid tidak perlu dibuang kerana ia adalah pembaziran yang nyata dan hukum pembaziran adalah haram berdasarkan firman Allah Taala dalam surah al-Isra’ ayat 26 yang bermaksud, “Janganlah kamu membazir dengan pembaziran yang melampau”.

Ketika artikel ini ditulis, pihak masjid telah mengambil keputusan untuk melupuskan karpet yang tercemar dengan babi hutan tersebut. Kos penggantian karpet sebanyak Tiga Puluh Empat Ribu Ringgit.

Manakala isu sertu sama ada dialirkan air atau tidak atas tempat bernajis mughallazah terdapat perselisihan pandangan di kalangan fuqaha Shafi’iy. Walaupun pendapat yang mengatakan sertu yang tidak dialirkan air ke atasnya adalah pendapat minoriti atau daif, namun ia masih dalam ruang lingkup ijtihadi yang tidak diharamkan berbanding pembaziran harta.

iii. Dalam mengaplikasikan pandangan minoriti di atas, INFAD mencadangkan salah satu daripada dua langkah seperti berikut:

a. Pertama: Karpet yang terkena dengan najis mughallazah babi tersebut dibersihkan dengan menggunakan alat “vacuum washer”. Penggunaan “vacuum washer” lebih disyorkan kerana proses pembersihannya lebih mudah dan berkesan.

Dalam menggunakan alat ini, air sabun yang biasanya diletakkan dalam vakum tersebut hendaklah ditukar kepada air tanah untuk satu basuhan dan selebihnya menggunakan air biasa bagi menggenapkan tujuh basuhan seperti yang disyaratkan mengikut mazhab Shafi’iy. Pihak masjid boleh mendapatkan khidmat syarikat Muslim yang membuat khidmat sebegini.

b. Kedua: Sekiranya kaedah sertu menggunakan alat “vacuum washer” tersebut sukar untuk diperolehi atau dilaksanakan, maka kaedah kedua dicadangkan. Kaedah kedua ialah hanya menggunakan mop atau kain basahan sebagai ganti kepada “vacuum washer”. Caranya ialah dengan merendamkan mop/kain basahan ke dalam air bercampur tanah bagi salah satu basuhan tujuh yang disyaratkan mengikut mazhab Shafieiy. Kemudian mop/kain basahan diperah sedikit dan dilalukan ke atas tempat yang terkena terkena dengan najis mughallazah babi.

c. Bagi kedua-dua kaedah di atas, hendaklah dihilangkan zat najis mughallazah babi seperti darah atau kotoran-kotoran lain terlebih dahulu sebelum dilakukan kaedah sertu.

iv. Pihak Jabatan Mufti Negeri-Negeri perlu melakukan kajian yang lebih kemprohensif dalam isu seperti ini supaya ada rujukan yang lebih jelas sekiranya berlaku lagi kes sebegini pada masa akan datang.

Nota Penting:

Tulisan ini bukanlah fatwa rasmi tetapi ia sekadar pandangan awal akademik dan ringkas oleh Akademi Fiqh Kontemporari, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Untuk keputusan atau fatwa rasmi, sila rujuk Jabatan Mufti Negeri-Negeri atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Disediakan oleh:

Prof. Madya Dr. Irwan bin Mohd Subri, Abdul Karim bin Pardon, Norshahirah binti Shamsudin, ‘Ubaidah Muhammad bin Zulkarnain, Muhammad Farid Wajdi bin Abdul Rahim, Akademi Fiqh Kontemporari, Institut Pengurusan Dan Penyelidikan Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), 7 Mac 2018 /19 Jamadil Akhir 1439H

SUMBER:KISAH BENAR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *